BIJAN

TABUNG PRIHATIN

"TABUNG PRIHATIN" PAS KAWASAN BUKIT GANTANG;;DERMA BAGI MEMBANTU ANAK YATIM/FAKIR MISKIN/OKU DAN YANG MEMERLUKAN...PADA YANG BERHAJAT SALURKAN SUMBANGAN ANDA MELALUI AKAUN "MAYBANK:NO AKAUN:"558051304442"..MAKLUMKAN SUMBANGAN ANDA KETALIAN:012-4282010/019-5205025/019-5789690.TQ

Tuesday, October 27, 2009

Jawatankuasa Siasatan Ditubuh Siasat Jambatan Gantung Runtuh - TPM


KAMPAR, 27 Okt (Bernama) -- Satu jawatankuasa siasatan akan ditubuh untuk menyiasat kejadian jambatan gantung runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dekat sini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata jawatankuasa itu akan diketuai Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan akan dianggotai para pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil kerajaan negeri Perak.

Jawatankuasa itu akan membuat siasatan terperinci bagi menentukan fakta sebenar yang membawa kepada insiden berkenaan dan membentangkan laporan itu kepada beliau, katanya.

"Kita akan bagi mereka tempoh masa yang sesuai supaya hal ini dapat dilaporkan dengan lengkap dan terperinci," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian pada selasa.

Turut serta adalah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Seorang murid lemas manakala dua lagi masih hilang apabila jambatan gantung yang mereka guna untuk menyeberang Sungai Kampar di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dekat sini runtuh pada kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Kejadian malam tadi berlaku semasa aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan yang membabitkan 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah.

Operasi mencari dan menyelamat yang dilancar sebaik kejadian berlaku membabitkan 222 anggota polis, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan agensi lain serta dibantu oleh penduduk kampung.

Muhyiddin berkata walaupun beliau dimaklumkan jambatan gantung itu merupakan sumbangan sebuah syarikat, jawatankuasa berkenaan akan menyiasat sama ada pengawasan ketika kerja-kerja pembinaan jambatan gantung itu telah dilaksanakan dan sama ada pembinaan jambatan gantung itu mengikut spesifikasi yang sepatutnya.

Beliau berkata selain meneliti aspek teknikal bagi mengenal pasti bagaimana jambatan gantung yang baru siap dibina kira-kira sebulan lepas itu runtuh, jawatankuasa itu juga akan menentukan sama ada penyeliaan sewajarnya telah dilaksanakan oleh guru-guru yang terlibat sebelum kejadian tersebut.

Muhyiddin berkata ketika kejadian seramai 25 guru terlibat dalam memantau dan mengaturkan aktiviti kokurikulum perkhemahan itu.

Katanya tapak perkhemahan di Pusat Kokurikulum PPD Kinta Selatan yang terletak bersebelahan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang itu akan ditutup bagi membolehkan jawatankuasa siasatan menjalankan siasatan dan akan dibuka semula pada masa yang sesuai kelak.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata aktiviti kokurikulum termasuk program Perkhemahan 1Malaysia yang bermatlamat untuk pelajar pelbagai kaum saling berinteraksi tetap akan diteruskan di seluruh negara di sebalik tragedi jambatan gantung runtuh tersebut.

"Kita harap dengan pengalaman di sini, guru yang akan bertanggungjawab, kita minta lebih berhati-hati. Pokoknya ialah soal keselamatan pelajar mesti diberikan perhatian paling utama selain mempertingkatkan lagi kemudahan rawatan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada keluarga mendiang N.Dina Deve, 11, untuk pengurusan pengebumian murid itu yang lemas dalam kejadian jambatan gantung runtuh itu.

Beliau turut merakamkan takziah kepada anggota keluarga Dina Deve dan berharap mereka bersabar dengan dugaan Tuhan.

Selain Dina Deve, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Di Awan yang mayatnya dijumpai pada pukul 8.40 pagi ini di Kampung Pasir kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian, dua lagi pelajar masing-masing dari SJKT Mambang Di Awan dan SJKT Gopeng masih lagi hilang.

Muhyiddin berkata beliau telah meminta pasukan mencari dan menyelamat meneruskan usaha sehingga kedua-dua pelajar itu ditemui.

Objektif perkhemahan 1Malaysia ialah untuk pelajar pelbagai kaum berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama-sama seperti memasak masakan tradisional, mengikuti latihan kebudayaan dan bermain pelbagai jenis permainan rakyat.

--BERNAMA.

1 comment:

Anonymous said...

nak siasat apa wahai TPM....siasat punya siasat..kontrakter kroni,yang meluluskan proxi,yang ambil komisyen dah tentu pegawai berotak UBN.....atlast piem umum...kita sedih dengan korban satu malaysia..kerjaan perihatian menghulurkan sumbangan rm30ribu untuk keluarga mangsa....tak habis-habis rakyat dibanggakan oleh ubn....hampes...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails