Pegawai kanan Yayasan Selangor diarahkan bercuti bergaji selama sebulan berkuatkuasa serta merta sehingga siasatan terhadap perbelanjaan mewah bagi majlis sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu disiasat.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, tindakan terhadap Timbalan Pengurus Besar Mohd Sharifuldin Sulaiman itu bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas.
Kelmarin, Sultan Selangor membatalkan keberangkatan ke majlis jamuan tengahari anjuran yayasan itu yang dijadual esok kerana dukacita dengan kosnya yang terlalu tinggi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud dilaporkan berkata, pada pendapat Baginda kos makan tengah hari lebih daripada RM300,000 adalah amat tinggi dan membazir.
Menurut Ramli, Baginda berpendapat lebih berfaedah jika wang itu digunakan untuk belanja pembelajaran dan kebajikan atau membiayai lebih ramai pelajar yang kurang berkemampuan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Khalid berkata, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menghargai setiap maklumat salah laku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab.
"Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salahguna kuasa ke muka pengadilan," katanya.
No comments:
Post a Comment