KUALA LUMPUR 12 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penduduk Islam di Pulau Pinang ‘membuka mata’ terhadap sikap sebenar kerajaan negeri pimpinan DAP apabila bertindak membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul yang secara tradisinya diadakan setiap tahun.
Sambil mempersoalkan tindakan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan Pulau Pinang terutama Ketua Menterinya, Lim Guan Eng nampaknya mula mempraktikkan satu sikap baru iaitu mereka enggan mendukung cita-cita serta hasrat yang membabitkan kepentingan umat Islam.
“Saya mahu bertanya kepada kerajaan Pulau Pinang khususnya Guan Eng. Adakah dia mahu menunjukkan satu sikap baru bahawa dia tidak lagi bersama mendukung hasrat dan cita-cita umat Islam di negeri berkenaan?
‘‘Jika Guan Eng kata tidak, lebih baik dia benarkan perarakan ini diadakan. Apa yang Guan Eng bimbangkan sangat? Pasal keselamatan? Setakat ini tidak pernah pula kita mendengar perarakan Maulidur Rasul boleh mengancam keselamatan,’’ katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pembukaan cawangan Ar-Rahnu X’Change Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di Cheras Maju dekat sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung tindakan kerajaan Pulau Pinang membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang sebelum ini diadakan setiap tahun.
Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Nor Suhaili Jamali ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau kecewa dengan keputusan kerajaan negeri yang dilihat tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam.
PULAU PINANG, 13 Feb: Exco Agama Islam Pulau Pinang, Haji Abdul Malek Abul Kasim menafikan berita akhbar arus perdana yang mengatakan perarakan Maulidur Rasul dibatalkan di negeri ini.Jelasnya kepada Harakahdaily, kerajaan negeri juga tidak pernah mengumumkan tentang ketiadaan perarakan tersebut sebaliknya hanya menegaskan kepada wartawan bahawa kerajaan negeri belum lagi membuat keputusan tentang perkara itu kelmarin tetapi semalam semuanya telah selesai apabila satu sidang media diadakan.
"Kerajaan negeri menafikan berita yang tersiar dalam akhbar arus perdana. Apa yang mereka ingin buat adalah mengusutkan keadaan yang tenang," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung.
Menurutnya lagi, majlis Maulidur Rasul bermula pada 25 Februari dengan bacaan Yaasin dan tahlil di seluruh masjid negeri ini.
Katanya, pada peringkat negeri pula diadakan di Masjid Negeri yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Abas.
Pada 26 Februari, perarakan diadakan sekitar Dewan Seri Pinang di mana pelepasan perarakan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Dr Mansor Othman.
Program 'Himpunan Ummah' pagi itu dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama di dalam dewan di samping mendengar ulasan daripada pakar motivasi terkenal tanahair, Ustazah Bahyah Mahmud dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Elias Zakaria.
No comments:
Post a Comment