LIMA TAHUN SEKALI DAPAT RM50?
Posted by admin |
KERJA politik bukan semudah 'cakap' kalau tidak cekal hati dengan niat ikhlas turun padang menemui rakyat berkongsi derita mereka di kampong-kampung bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Jika rakyat tidak didekati, manakan tahu apa derita dalam hatinya?
Mereka yang tinggal terpencil di pedalaman Sabah yang sudah turun menurun selama tiga generasi semakin malang dan tidak pernah mengecap nikmat kemerdekaan kerana tidak mempunyai tanah walau sekangkang kera.
Nasib mereka tidak terbela dalam keadaan rumah usang mereka yang hampir roboh sedangkan YB-YB BN terus berdendang dan menabur garam di dada rakyat yang luka parah.
"Mana sudah janji keramat YB-YB BN ketika berkempen PRU12 di kampung ini? Tidak hairan kalau mereka datang lagi kerana dekat sudah berakhir tempoh mereka menjadi YB, maka mereka perlu khidmat undi dari kami lagi macam lagu 'tipah tertipu lagi',” keluh seorang ibu, Ramah Bte Kuit ketika dilawati oleh rombongan Info & Komunikasi PKR Sabah yang diketuai oleh Datuk Halik Zaman di rumahnya di Kuala Tomani, Tenom, Sabah.
Dalam pada itu, Ketua Cabang PKR Tenom, Gonsibin Yasundang mengatakan. tidak ada jalan singkat untuk mengatasi masalah rakyat selain menukar Kerajaan Pusat Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.
"Lihatlah sendiri rumah berlantai dan dinding bambu ini. Ada rumah pun yang baik sikit kelihatan ia adalah rumah dipunyai oleh orang kanan YB. Nasib kami ini bagaimana? Kalau tidak ditukar Kerajaan BN ini mungkin kami cuma harap lima tahun sekali baru dapat RM50 sahaja, RM50 itu bolehkah cukup untuk menampung hidup kami untuk 5 tahun?" kata seorang penduduk lagi, Danil B. Ural.
Manakala Jimi B. Manggi pula berharap sangat jika Pakatan Rakyat mengambil alih pucuk pimpinan Kerajaan Pusat dalam PRU13 nanti, mereka hanya mahukan tiga ekar tanah sahaja untuk bercucuk tanam.
“Kerajaan BN layan kami seolah-olah sebagai pendatang asing di negeri kami sendiri,” ujar Jimi yang sudah jemu memohon tanah kerana karenah birokrasi dan rasuah yang menjadi-jadi di Jabatan Tanah tidak memungkinkan penduduk kampung sepertinya mendapat walau seinci tanah selagi Sabah diperintah BN.
No comments:
Post a Comment