kosmo
KOTA BHARU – Semua peniaga rokok sama ada di restoran besar atau gerai jalanan akan diwajibkan mempunyai lesen daripada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mulai 1 September ini.
Pengerusi LKTN, Datuk Ismail Kassim berkata, selain penjual rokok, mereka yang terlibat memproses, mengilang dan mengimport tembakau serta kenaf juga perlu memiliki lesen berkenaan mulai tarikh tersebut.
Menurutnya, lesen itu dikeluarkan bertujuan mengawal selia dan menyelaras semua aktiviti berkaitan industri tembakau serta membanteras penjualan rokok seludup yang berleluasa selama ini.
“LKTN kini menjadi agensi yang diberi kuasa untuk mengawal penjualan dan penyeludupan rokok di negara ini yang selama ini dipikul oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).
“Keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat 13 Julai lalu yang melibatkan pihak Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, KDRM serta wakil pengilang-pengilang rokok,” katanya pada majlis penerangan LKTN dan makan malam bersama media di sini malam semalam.
Ismail bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum mengetahui jumlah sebenar peniaga yang bakal dilesenkan melalui peraturan baru ini. Ia hanya dapat ditentukan selepas penguatkuasaan lesen itu nanti.
Katanya, semua pihak terbabit boleh memohon mendapatkan lesen berkenaan melalui pejabat LKTN atau laman sesawang http://www.lktn. gov.my dengan bayaran sebanyak RM50.
Tegas beliau, kegagalan mematuhi peraturan di bawah Seksyen 39(1) Akta LKTN boleh menyebabkan pesalah dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
No comments:
Post a Comment