Bandar raya Tokyo kelam-kabut
TOKYO - Ribuan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tidak berfungsi di bandar raya ini semalam manakala berjuta-juta warganya mula menyimpan beras dalam jumlah yang banyak ekoran ketakutan terhadap radiasi dari loji nuklear Fukushima Daiichi yang terletak kira-kira 240 kilometer dari sini.
Lebih memburukkan keadaan, Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Banri Kaieda berkata dalam satu kenyataan, negara itu akan berdepan dengan masalah bekalan elektrik selama beberapa bulan lagi.
Amaran itu diberikan kerana bekalan tenaga elektrik ketika ini tidak mencukupi disebabkan masalah kerosakan di loji nuklear Fukushima Daiichi.
Loji nuklear itu telah meletup sebanyak empat kali selepas gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun pada minggu lalu sehingga mengakibatkan tsunami setinggi 10 meter.
Para pekerja kini berusaha untuk menyejukkan loji nuklear itu yang dikendalikan oleh Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) dengan menggunakan air laut.
Usaha itu dilakukan bagi mengelak lebih banyak kadar radiasi tersebar ke udara sehingga mengancam kesihatan penduduk.
No comments:
Post a Comment