15,000 rai 44 pasangan Raja Sehari
Ismail Hashim |
KLANG, 26 Mac: Majlis Perkahwinan Perdana yang diadakan di Masjid Nurul Iman, Kampung Delek, dekat sini hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kejayaan 44 pasangan menjadi Raja Sehari. Kehadiran tetamu sekitar 15,000 orang dari berbagai golongan masyarakat termasuk bukan Islam memeriahkan lagi suasana majlis. Penaung program, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Hajah Halimah Ali dan Exco Agama negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali turut hadir. Selain itu, ramai kalangan pimpinan hadir termasuk pegawai kerajaan mewakili berbagai agensi yang turut memberikan kerjasama dalam menjayakan program. Dalam ucapan aluannya. Dr Halimah berkata, dengan tema Perkahwinan Menjana Mawaddah diharapkan lahirlah golongan masyarakat yang dapat bangunkan komuniti menjadi lebih berjaya. Sebelum majlis akad nikah dilangsungkan, khutbah nikah disampaikan oleh Dr Hasan. Setelah itu, seramai lapan kadi yang dilantik JAIS menjalankan tugas mereka menikahkan kesemua pasangan dalam masa sekitar satu jam. Menurut salah seorang jawatankuasa program, Haji Jamuliddin Elias, dengan kejayaan penganjuran kali ini menambahkan semangat mereka untuk menjadikan program itu sebagai acara tahunan. "Kita merancang program yang lebih meriah dengan jumlah penyertaan lebih ramai pasangan di masa akan datang. "Kita memberikan banyak kemudahan kepada semua pasangan terbabit termasuk pakaian pengantin kecuali mahar yang mereka usahakan sendiri. "Meskipun kita membelanjakan sekitar RM100 ribu untuk program hari, namun sumbangan menjayakan tema Perkahwinan Menjana Mawaddah lebih diutamakan," tegasnya. Jamuliddin berkata, walaupun mereka terbabit dari seluruh Selangor tetapi majoritinya datang dari Daerah Klang. Katanya, jika sebelum ini, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Perlis pernah mengadakan program sama sebelum ini, kini Selangor menjadi negeri keempat berbuat demikian. Ketika ditemui, pasangan yang terlibat mengucapkan rasa syukur tidak terhingga ke Hadrat Allah SWT kerana dapat bersama melangsungkan perkahwinan secara bersama pada hari ini. Aminuddin Sohar, 20, dan isterinya, Nurul Hidayah Shahar, 26, mengucapkan terima kasih kepada pihak Masjid Nurul Amin, Kerajaan Negeri, JAIS dan semua agensi terlibat. Mereka berdua bertambah gembira kerana lokasi tempat berlangsungnya program, Masjid Nurul Amin adalah kombinasi nama mereka berdua. Pasangan veteran, Zakaria Ismail, 64, dan Mariah Baharum, 48, pula tidak menjangka perkenalan sekitar empat bulan lalu dapat sama bersama dalam majlis hari ini. "Kami bersyukur kerana dalam masa kurang setahun menduda dan keseorangan, dapat bersama menjadi pengantin kali kedua," ujar Zakaria sambil tersenyum ke arah isteri tersayang. Majlis jamuan berlangsung sehingga jam 5 petang yang dilayani oleh petugas-petugas yang dilantik termasuk Briged Amal. Sebelah malam, satu forum berkaitan pernikahan diadakan dengan panelisnya Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Nor dan artis yang baharu sertai PAS, Bob Lokman. |
No comments:
Post a Comment