Kompleks di Subang Jaya meletup, empat cedera
Letupan itu menyebabkan keseluruhan aras bawah kompleks membeli-belah itu mengalami kerosakan teruk, antaranya cermin pecah, dinding bangunan pecah dan lantai retak serta beberapa buah kereta didapati remuk.
Beberapa laluan jalan raya menghubungkan kompleks membeli-belah itu ditutup buat sementara waktu oleh pihak berkuasa.
Penghuni apartmen berhampiran dilihat berkumpul di luar perkarangan kompleks membeli-belah dan diarahkan anggota pihak berkuasa mengosongkan kediaman buat sementara waktu kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan teruk beberapa premis, termasuk rangkaian cafe terkenal dengan bumbung dan kaca beberapa premis lain runtuh dan pecah.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam Twitternya pagi ini berkata, beliau mendoakan penduduk di kawasan berhampiran selamat.
Setakat ini punca kejadian belum diketahui.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Osman Abdullah berkata jentera bomba pertama sampai kira-kira jam 3.50 pagi.
Menurutnya, setelah sampai dilokasi, berlaku kebakaran di bahagian hadapan melibatkan saluran gas yang dipercayai berpunca dari letupan yang kuat.
"Kami menerima laporan daripada pengawal keselamatan bangunan, terdapat dua orang mangsa pengawal keselamatan berbangsa Nepal terperangkap di bahagian aras bawah (basement) mengalami cedera ringan.
"Manakala dua orang awam berjaya diselamatkan dan mengalami cedera ringan kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans," katanya.
Sementara itu, menurut Berita Harian Online, Ketua Polis Daerah Subang, ACP Zainal Rashid Abu Bakar, berkata punca kejadian masih disiasat dan laporan terkini akan dikeluarkan pasukan bomba serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
Beliau berkata, letupan di bahagian bawah bangunan itu mengakibatkan cermin bangunan pecah membabitkan tiga kedai makan.
"Dua daripada mangsa adalah warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ manakala dua lagi rakyat tempatan.
"Semua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Menurut saksi, Daryl Chua, 27, (kanan) ketika kejadian berlaku, dia bersama teman wanitanya sedang menuju ke mesin bayaran tiket letak kereta.
Ketika sampai di mesin tersebut, katanya, tiba-tiba dia terdengar bunyi 'letupan' dan terus rebah ke lantai.
"Saya terpaksa memapah teman wanita saya yang longlai dan tidak berdaya, keluar dari kompleks membeli-belah tersebut, kira-kira tiga minit selepas kejadian berlaku," katanya ketika menceritakan detik cemas itu.
Pada masa yang sama, dia ternampak beberapa orang awam dan pengawal keselamatan bertempiaran lari menyelamatkan diri
"Nasib baik saya dan teman wanita tidak cedera serius, saya hanya luka kecil di tangan manakala kereta rosak teruk," katanya.
No comments:
Post a Comment