Khir: Undang-undang akan bersihkan nama saya
Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata kes mahkamah terhadapnya akan dapat membersihkan namanya berhubung isu kediaman mewahnya di Shah Alam.
"Saya rasa tindakan ini adalah satu tindakan yang akan bersihkan nama saya," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.
"Pertamanya, kes ini menunjukkan rumah saya bukan RM24 juta. Dakwaan pembangkang ini tak betul.
"Saya rasa sekurang-kurangnya (rakyat tahu yang rumah saya bukan RM24 juta," tambahnya.
Khir didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.
ADUN Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Manakala Shamsuddin pula didakwa di bawah akta yang sama serta satu tuduhan tambahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Khir.
"Saya beli rumah ini atas rasa 'willing seller' dan 'willing buyer'. Owner (pemilik) yang pertama mengatakan dia beli rumah daripada owner (pemilik) sebelum ini 6.4 juta, tapi dia jual kepada saya RM3.5 juta, semua ikut peraturan dari segi bank transaction (urusniaga bank) dan sebagainya.
"Ketiganya saya mempunyai keyakinan yang tinggi kepada sistem perundangan negara, dan saya yakin kes ini akan dibicarakan dengan segera, dan saya dapat bersihkan nama saya daripada arena politik dan pembangkang," tambahnya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat kes tersebut ekoran dakwaan yang dibuat oleh ADUN Sekincan, Ng Suee Lim.
Ng mendakwa hartanah seluas 50,000 kaki persegi itu dibina pada anggaran kos RM20 juta, manakala tanah itu dibeli dengan harga RM3.8 juta.
Khir telah menafikan dakwaan tersebut, dengan mengatakan beliau membeli rumah dan tanah tersebut pada harga RM4 juta. Beliau juga telah memfailkan saman fitnah terhadap Ng.
Ditanya jika beliau tidak didapati bersalah, apakah tindakan yang akan diambil terhadap Ng, Khir berkata:
"Saya percaya undang-undang akan bersihkan nama saya, dan tindakan terhadap YB Ng akan kita teruskan".
Ditanya sama ada tindakan terhadapnya itu ada kaitan dengan pilihan raya, bekas menteri besar Selangor itu berkata:
"Saya tidak tahu, sebagai seorang ahli politik, saya mungkin berfikir begitu, tetapi biarkan sistem kehakiman membersihkan nama saya dahulu".
Ditanya mengenai kemungkinan wujudnya agenda politik tertentu, Khir berkata: "Sata tak nak ulas perkara itu".
No comments:
Post a Comment