Susu 1Malaysia: Kenapa kementerian tidak bertindak? | Print |
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 21 Nov: Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua (gambar) mempersoal Kementerian Kesihatan Malaysia yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pembekal produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).
Mengambil contoh susu formula bayi 1Malaysia yang dikatakan tidak mengandungi 15 nutrien utama yang diperlukan, beliau berkata, kementerian tersebut seolah-olah berkomplot dengan pembekal apabila tidak mengambil sebarang tindakan walaupun membekalkan produk berkualiti rendah.
Ini kerana katanya, kementerian tersebut tidak menmbuat sebarang pendirian berhubung dakwaan itu.
"Tiada sebarang kenyataan daripada menteri mengenai tindakan yang akan diambil oleh kementerian atau tindakan yang mesti diambil oleh KR1M.
"Sikap membisu menteri kesihatan mencerminkan seolah-olah ada usaha untuk menutup dan bersekongkol dengan pembekal untuk memastikan bahawa jenama 1Malaysia tidak terjejas," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Tegasnya, pengumuman di laman web KR1M sahaja tidak memadai sebaliknya kementerian harus mengiklankannya di media arus perdana."Pengumuman yang hanya dibuat di laman webnya tidak mencukupi.
Secara etika dan amalan global ialah syarikat itu mesti melindungi kepentingan rakyat dan pengguna," katanya.
Tambahnya pengguna yang membeli produk di KR1M bukan dari golongan yang selalu melayari internet untuk mendapatkan maklumat.
Minggu lalu, KR1M menarik balik susu tepung jenama itu dari pasaran, selepas dakwaan bahawa kandungannya melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Akta Peraturan-Peraturan Makanan 1985, sementara menunggu siasatan.
Sementara itu, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad membidas pihak yang mendakwa pendedahan oleh Pakatan Rakyat berhubung isu itu hanya bersifat politik.
Katanya, apa yang dilakukan oleh mereka adalah sebagai tanggungjawab 'check and balance' kepada pihak kerajaan.
"Kita hanya jalankan tugas semak dan imbang kepada kerajaan. Ini bukan soal politik, tapi soal keselamatan rakyat.
"Kita mintak Fomca dan PPIM juga perlu bersama kami," katanya.
No comments:
Post a Comment