Bukti Penyelewengan Undi Pos Oleh SPR Di PRK Sibu
Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke membuat aduan rasmi berhubung kelemahan proses perjalanan pilihan raya kecil Sibu Ahad lalu di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya petang tadi.
Turut hadir menyerahkan aduan kepada SPR termasuk Ketua Penyelaras Ajen Mengundi DAP, Vincent Wu, Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan, Mary Josephine dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.
“Kita amat tidak berpuashati dengan beberapa perkara yang berlaku dalam PRK Sibu, terutamanya mengenai pengiraan undi pos,” kata Loke kepada media selepas menyerahkan aduan kepada SPR.
Loke berkata petugas undi pos Pakatan Rakyat mendapati sewaktu penjumlahan undi pos dilakukan, terdapat beberapa kod undi yang jumlah pemulangannya melebihi dari jumlah yang dikeluarkan. Ia melibatkan Kod 708, iaitu 6 undi dikeluarkan dan 24 yang kembali, Kod 429, 160 yang dikeluarkan dan 161 yang kembali serta Kod 43, sebanyak 47 undi dikeluarkan dan 67 yang kembali.
“Ini tak boleh berlaku kerana undi yang diterima tidak boleh bertambah. Kalau undi yang kembali menjadi sedikit, itu logik, sebab mungkin ada orang yang tak mengundi, dan memang itu hak dia. Kalau ada lebihan, bermakna kertas undi itu tidak dikeluarkan oleh SPR,” jelasnya.
Beliau memaklumkan setiap undi pos perlu dikembalikan bersama satu surat akuan yang perlu ditandatangani oleh seorang saksi.
Namun petugas Pakatan Rakyat membantah apabila meragui surat akuan tersebut selepas mendapati banyak sampul yang tidak mempunyai tandatangan.
Bantahan tersebut diterima oleh Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya tetapi seorang pegawai SPR Pusat yang bernama Ismail campur tangan dan mengarahkan beliau untuk menerima semula undi yang ditolak tersebut.
Ini berlaku sedangkan terdapat kesalahan pada sampul dan kertas undi terbabit
Petugas Pakatan Rakyat juga berjaya mengesan individu yang disyaki pengundi hantu.
Mereka turut merakam gambar dan mendedahkan terdapat beberapa individu yang mendakwa diri mereka adalah wakil kepada pengundi pos.
Loke turut mempersoalkan kelewatan pihak SPR untuk mengumumkan keputusan seperti mana yang dijanjikan.
Kelewatan 2 jam itu berpunca dari proses pengesahan pengiraan undi pos. SPR didakwa menangguhkan pengeluaran Borang 15 yang mengesahkan keputusan kiraan tersebut.
“Borang 15 itu adalah bukti pengesahan oleh pegawai SPR dan parti yang bertanding. Kami takkan tinggalkan tempat kiraan tanpa borang tersebut. Bahkan sampai hari ini pun kita masih belum terima borang tersebut,” kata Loke.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan kewajaran SPR untuk mewujudkan pusat pengundian di kawasan persendirian seperti rumah panjang.
“Sepatutnya pengundian dijalankan ditempat yang sah dan berkecuali seperti sekolah atau balai raya. SPR mesti ambil iktibar dari insiden seperti ini,” jelas Loke lagi. -SK
No comments:
Post a Comment