Aziz Muda |
KUALA LUMPUR, 25 Mei: Persatuan Pelajar India Malaysia (MISA) amat kecewa kerana ramai pelajar lepasan SPM yang mendapat 8A+, khususnya yang bukan berketurunan Melayu, tidak mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Sekiranya diberikan biasiswa, biasiswa yang ditawarkan itu hanyalah biasiswa dalam negeri (PIDN) dengan kursus-kursus yang ditawarkan tidak setaraf dengan kecemerlangan mereka. Presiden MISA, Kishur Goonasaran (gambar) berkata, kejadian itu bertentangan dengan arahan Perdana Menteri dan Kabinet bahawa kesemua pelajar itu harus mendapat biasiswa JPA dengan kursus-kursus yang bersesuaian dengan pencapaian akademik mereka. Menurut beliau, sepatutnya setiap arahan dari Perdana Menteri dan kabinet haruslah dilaksanakan oleh kakitangan kerajaan dengan sepenuhnya. Katanya, jadi timbul persoalan, mengapa lain yang disuruh lain yang dibuat dan apakah ini satu bentuk sabotaj dari pihak JPA terhadap semangat 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. "Atau apakah ada satu bentuk arahan secara halus dari pihak Kerajaan BN untuk JPA?" katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MISA, di sini, hari ini. Disebabkan kejadian itu, MISA berpendapat tiada gunanya Kerajaan BN menubuhkan 'Talent Corp' untuk mengatasi masalah 'Brain Drain' di Malaysia dengan memberi insentif kepada rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk pulang berkhidmat di Malaysia. Katanya, jika pelajar cemerlang seperti itu yang sepatutnya disanjungi dan dihargai dengan pemberian biasiswa diabaikan, ia tentunya hanya akan menyumbang kepada statistik 'Brain Drain'. "Kita harus mengatasi punca utama masalah tersebut, bukannya hanya bertindak setelah semuanya sudah terlambat seperti kata pepatah, "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya," katanya. Dengan itu, katanya, JPA ternyata telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya secara adil tanpa diskriminasi terhadap para pelajar kita yang bakal menjadi tonggak negara. "Ini juga adalah satu kegagalan yang jelas dari pihak kerajaan yang memperjudikan masa depan anak muda Malaysia. Kami amat kesal kerana perkara ini berulang setiap tahun tanpa ada jalan penyelesaian yang mutlak," katanya. Pada masa yang sama, MISA juga inginkan supaya setiap pelajar cemerlang lepasan SPM tahun 2010 diberikan pembiayaan biasiswa daripada agensi kerajaan yang lain seperti BNM dan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC). "Kami ingin menyeru kepada kerajaan supaya tidak lagi berdolak-dalik dalam hal ini. Janganlah memperjudikan masa depan anak-anak kita untuk kepentingan politik sempit. Kami di MISA inginkan supaya isu ini diselesaikan dalam kadar segera," tegasnya. Pelajar-pelajar cemerlang yang diabaikan oleh kerajaan itu, menurut beliau, berjumlah 363 orang melibatkan kesemua bangsa termasuk India, Cina dan lain-lain bangsa dan kesemua mereka kini sedang membuat rayuan kepada JPA agar permohonan mereka itu dipertimbangkan kembali oleh JPA. Sekiranya rayuan mereka itu tidak dipertimbangkan, MISA bercadang untuk mengadakan perarakan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) Isnin ini, 30 Mei, jam 11.00 pagi untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri untuk mendesak Perdana Menteri campur tangan dengan segera dan membetulkan perkara itu. "Selain itu, MISA turut menuntut agar nama-nama pemohon biasiswa JPA, nama-nama mereka yang berjaya dan nama-nama mereka yang gagal disiarkan di dalam akhbar utama di tanah air. "Sekiranya pihak JPA tidak berkemampuan berbuat demikian kerana tiada wang untuk membayar kepada pihak akhbar bagi penyiaran senarai nama pemohon-pemohon, senarai nama pemohon yang berjaya dan senarai nama pemohon yang gagal, pihak MISA dan NGO-NGO India boleh membiayainya," katanya sinis. Dalam hubungan ini, beliau hairan apabila pihak JPA enggan menyiarkan senarai nama mereka itu di akhbar, pada hal untuk menyiarkan senarai nama pelatih-pelatih PLKN, kerajaan tidak pula berfikir panjang walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang besar. Selain itu, MISA turut menuntut Kerajaan BN agar menubuhkan Suruhanjaya Diraja Biasiswa, bagi memantau proses temuduga oleh panel penemuduga terhadap para pemohon biasiswa JPA. "Penubuhan Suruhanjaya Diraja Biasiswa itu amat penting, bagi membolehkan temuduga dan proses pemberian biasiswa bukan lagi dikuasai oleh GLC dan bukan juga menteri-menteri yang berkuasa penuh dalam hal ini," katanya. MISA juga turut mendesak Kerajaan BN agar turut menyiarkan senarai nama panel penemuduga biasiswa JPA di akhbar, bagi membolehkan kesemua pihak menilai dengan adil prestasi dan kredibiliti mereka, demi keadilan kepada kesemua pihak. Pada sidang media itu, MISA turut menampilkan seorang pelajar cemerlang berketurunan India dari Seremban, Negeri Sembilan, Heamanathaa d/o Padmanabalan yang mendapat 10A+, 1A dalam SPM tahun lalu yang didakwa telah menjadi mangsa diskriminasi berhubung pemberian biasiswa JPA. Heamanathaa yang hadir bersama ayahnya bercita-cita untuk menjadi doktor dan ingin melanjutkan pelajaran di luar negara, tetapi kini hanya ditawarkan melanjutkan pelajaran di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) untuk peringkat diploma bermula 29 Mei ini, bagi menjadi guru mata pelajaran bahasa Inggeris. |
Thursday, May 26, 2011
Bukan setakat India..Melayu pun kena juga...kecuali OKU (orang Kuat Umno)..boleh selalu
Tiada biasiswa: Arahan BN atau JPA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment