PSM lancar kempen ‘Udahlah tu… Bersaralah’
PSM juga turut meminta rakyat menyertai Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 menuntut pilihanraya bersih dan demokratik.
PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan melancarkan kempen “Udahlah tu…Bersaralah” iaitu satu kempen kesedaran peringkat nasional untuk meminta rakyat membuat perubahan berani untuk membawa perubahan dalam pilihanraya umum (PRU) nanti.
Selain itu, PSM akan turut meminta rakyat menyertai Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 menuntut pilihanraya bersih dan demokratik.
Menurut Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan; kempen “Udahlah tu…Bersaralah” akan dimulakan pada 24 sehingga Jun ini di bawah fasa pertama dan bertujuan mendedahkan kepada rakyat tentang amalan rasuah semakin parah, jurang kaya dan miskin semakin besar, ketegangan kaum semakin parah dan demokrasi di Malaysia semakin tenat.
“Jika Barisan Nasional (BN) menang PRU ke-13 nanti, cukai perkhidmatan kerajaan (GST) akan dilaksanakan, hak-milik awam akan hancur, hak-milik persendirian akan terus makmur!
“Sementara itu polisi perkauman akan bermaharalela dan kaum marhaen dan rakyat akan pula akan terus merana”, kata Arutchelvan.
Arutchelvan menjelaskan bahawa di bawah fasa 1 kempen “Udahlah tu…Bersaralah”, akan melihat kempen bermula di dua puncak berbeza iaitu di Perlis dan juga di Johor.
“ Kempen dari utara akan menjelajahi beberapa kawasan luar bandar dan pekan menuju ke negeri Kedah, Pulau Pinang dan berakhir di Sungai Siput. Perak manakala pada masa yang sama satu lagi kempen jelajah dari selatan akan bermula dari Johor dan seterusnya melalui Melaka, Negeri Sembilan dan berakhir di Kota Damansara, Selangor.
“ Kempen fasa ke 2 pula akan meliputi kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.Kempen ini juga akan melibatkan kerjasama dengan parti-parti Pakatan Rakyat, kumpulan masyarakat dan Jawatankuasa NGO”, ulas Arutchelvan lagi.
Butir dan konsep
Arutchelvan juga turut mendedahkan butiran dan konsep kempen tersebut seperti berikut:
- Konsep Whistle-Stop dengan menggunakan bas kempen dan peserta yang akan melalui beberapa destinasi penting selama tiga hari.
- Risalah akan diedarkan di setiap lokasi sepanjang perjalanan bas tersebut. Risalah akan memfokus pemerintahan 53 tahun BN dan mengapa rakyat perlu meminta BN bersara dalam PRU ke-13 dan apakah malapetaka yang akan melanda rakyat sekiranya BN menang lagi dalam PRU 13 nanti.
- Dua bas akan bergerak serentak.Satu meliputi kawasan utara Semenanjung dan satu kawasan Selatan Semenanjung.
- Ceramah kelompok dan umum akan diadakan pada waktu malam setiap hari sepanjang program tersebut.
- Sidang akhbar juga akan diadakan untuk memberikan perkembangan terbaru dari masa kesemasa
Justeru itu Arutchelvan meminta rakyat marhaen agar tidak mengadaikan harapan anak cucu ditangan rejim yang korup dan tidak demokratik, sebaliknya melakukan perubahan politik dan inilah masanya untuk melakukan perubahan.
No comments:
Post a Comment