Yemen bergolak akibat tunjuk perasaan
SANAA - Pertempuran sengit antara para penunjuk perasaan yang menyokong dan menentang pemerintah di sini menyebabkan sekurang-sekurangnya 40 orang cedera semalam manakala tentera dikerahkan ke bandar pelabuhan Aden, selatan negara itu bagi mengawal ketenteraman.
Sekitar 2,000 orang penunjuk perasaan, kebanyakannya pelajar, meninggalkan Universiti Sanaa dan menuju ke Dataran Pembebasan di sini apabila mereka bertembung dengan penyokong-penyokong pemerintah sekali gus mencetuskan pertempuran yang masuk hari ketujuh semalam.
Kumpulan penunjuk perasaan yang setia kepada Presiden Ali Abdullah Saleh berhimpun dan menunggu berhampiran universiti itu sejak pagi semalam untuk menyerang kumpulan penunjuk perasaan antipemerintah dengan cota dan batu.
Para penunjuk perasaan yang melaungkan slogan seperti rakyat mahu menumbangkan pemerintah bertindak balas dengan membaling batu ke arah penyokong presiden.
Seorang wartawan di sini berkata, polis kemudian campur tangan dengan melepaskan tembakan amaran untuk memisahkan kedua-dua belah pihak tetapi berundur selepas pertempuran bertambah sengit.
Menurutnya, seramai 15 daripada mereka yang cedera merupakan penunjuk perasaan manakala bakinya penyokong pemerintah.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai tempatan berkata, pertempuran sengit antara penunjuk perasaan dan pihak polis di bandar Aden kelmarin menyebabkan tentera dihantar ke lokasi tersebut.
|
|
Menurutnya, dua terbunuh dalam pertempuran itu.
Kejadian di Yemen itu berlaku akibat kesan daripada tunjuk perasaan besar-besaran yang berlaku di Tunisia dan Mesir.
Tunjuk perasaan itu juga berlaku akibat kemarahan rakyat yang berpunca daripada masalah kemiskinan dan pengangguran.
Presiden Yemen berjanji untuk tidak bertanding dalam pilihan raya semula pada 2013 atau cuba menjadikan seorang anak lelakinya sebagai pengganti.
Negara itu merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat dalam perjuangan untuk menentang kumpulan Al-Qaeda yang dipimpin oleh Osama bin Laden.
Kawasan sempadan Yemen yang berjiran dengan Arab Saudi kerap dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan pengganas. - Agensi
No comments:
Post a Comment