Isteri Perdana Menteri Menitis Air Mata Dengar Ucapan Hari LahirBANGI, 6 Dis (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak dapat menahan rasa terharu dan menitiskan air mata apabila dikejutkan dengan penyampaian kad ucapan hari lahir oleh wakil pelajar pintar di majlis perasmian Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar Negara di sini pada Ahad. Sebelum menyerahkan kad ucapan itu, wakil pelajar berkenaan turut membacakan ucapan ringkas untuk Rosmah dan pada waktu itu, beliau dilihat mengesat air matanya, tanda terharu dengan ucapan tersebut. Para tetamu juga sempat menyaksikan sendiri naluri keibuan Rosmah yang sangat menebal apabila beliau memeluk erat dan mengucup pipi wakil pelajar berkenaan. Rosmah yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran pada Khamis depan (10 Dis) turut dihadiahkan dengan sebiji kek yang dipotong bersama-sama beberapa wakil pelajar. Suasana menjadi bertambah gamat apabila Perdana Menteri menyuapkan sepotong kek kepada isterinya itu sebelum Rosmah melakukan suapan balas kepada Datuk Seri Najib. Selain kek dan kad ucapan, Rosmah yang juga Penaung PERMATA Negara turut dihadiahkan dengan sejambak bunga. -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment