Bonus tidak bantu golongan berpendapatan rendah
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Pengumuman pemberian bonus setengah bulan kepada penjawat awam oleh Perdana Menteri dikhuatiri tidak membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah. Bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC), Syed Shahrir Syed Mohamud berkata, para penjawat awam khususnya yang berpendapatan RM1,500 ke bawah mengharapkan pengumuman yang lebih baik. "Kita tidak tahu jumlah sebenar sebab gaji berbeza-beza. Pengumuman ini terlalu umum. "Kumpulan yang berpendapatan rendah misalnya gaji mereka RM1,000 mereka akan dapat RM500. Adakah ianya boleh menceriakan keluarga itu untuk menyambut hari raya?" soalnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR dan Ketua Cabang Kelana Jaya turut berkata, penjawat awam khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana mengharapkan jumlah yang lebih tinggi. "Memang mereka mengharapkan sesuatu yang lebih baik tapi apa yang diberi setengah gaji kurang sesuai. "Kita tahu sekarang kuasa beli merosot dan kos hidup semakin meningkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pemberian bonus setengah bulan kepada penjawat awam dengan bayaran minimum sebanyak RM500 yang akan dibayar pada pertengahan bulan ini. Beliau turut mengumumkan pemberian bayaran khas kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan, dibayar pada tarikh sama. Sementara itu, Khamis lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam tahun ini. Presidennya, Datuk Omar Osman berharap kerajaan dapat menyediakan bonus sebulan sebelum sambutan Hari Raya dan sebulan bonus selepas sambutan perayaan itu. Beliau berkata, Cuepacs telah memohon secara rasmi melalui surat kepada perdana menteri, dua bulan lalu. |
No comments:
Post a Comment