Banduan penjara di Kelantan dakwa dibogelkan
Ahmad Syauqey Abdul Ghani berkata dia dan 113 banduan lain diarahkan oleh warden penjara untuk berbogel beramai-ramai pada hari dia dihantar ke penjara iaitu pada 23 Jun lalu.
“Saya dalam keadaan takut dan keliru bersama-sama dengan rakan banduan yang lain terus menelanjangkan diri beramai-ramai. Keadaan sedemikian sangat mengaibkan saya.
“Arahan diberi secara berperingkat melibatkan 10-20 banduan pada satu-satu masa. Kami kemudiannya sekitar 20 orang diarah untuk pergi berak. Keadaan ratusan manusia bogel sangat dasyat, memalukan dan di luar perikemanusiaan,” tulisnya kepada Malaysiakini dalam emel.
Bekas sukarelawan dengan pemantau pilihan raya Mafrel itu sempat melakarkan beberapa keping lukisan bagi menggambarkan keadaan di situ.
Katanya, dia dan rakan yang lain kemudian diminta untuk berjalan dalam keadaan telanjang bulat ke kawasan bilik air.
“Kami terpaksa melalui rakan-rakan sel penjara yang lain sepanjang laluan, yang melihat secara jelas keadaan kami yang bertelanjang bulat... Kami (juga) diarahkan untuk berak secara terbuka, secara berbaris di depan satu sama lain,” katanya.
Ahmad Syauqey juga mendakwa tempat kurungan di penjara itu begitu sempit dan berlaku kesesakan.
Hak bersolat
“Keluasan sel ini sekitar 6 kaki x 12 kaki. Kami hanya dibekalkan sehelai selimut, tanpa tilam. Kami juga dibekal satu baldi besar air untuk kegunaan basuh kencing dan berak. Satu bekas kecil air minuman.
“Kami terpaksa berhimpit-himpit dan sebahagian daripada kami terpaksa meletakkan kaki ke atas dinding kerana tidak muat untuk berlunjur. Ramai di kalangan kami tidak dapat tidur kerana kepanasan dan kesesakan,” dakwanya lagi.
Menurut Ahmad Syauqey, sepanjang penahananya itu dia dalam kepanasan kerana hanya ada satu pintu depan dan lubang angin kecil di atas bilik yang menempatkan sepuluh hingga 12 banduan itu.
Dakwanya lagi, banduan-banduan yang beragama Islam juga dinafikan hak untuk bersolat dengan sempurna.
“Dengan penyediaan bekas air baldi bulat berukuran melebihi 1½ kaki x 2 kaki, menurut mazhab Syafie secara teori ia boleh digunapakai untuk berwuduk. Namun secara praktikal, hampir mustahil dapat dielakkan daripada air tersebut menjadi air mustakmal, yang menyebabkan ia tidak dapat digunakan bagi mengambil wuduk,” katanya.
Ahmad Syauqey berkata selepas dibebaskan, beliau telah membuat laporan polis berhubung layanan tidak berperi-kemanusiaan itu di balai polis Kota Bharu dan bercadang mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Hak asasi Manusia (Suhakam) setelah menghantar emel kepada mereka.
Ketika dihubungi, pengarah Penjara Pengkalan Chepa Husni Johari berkata siasatan berhubung dakwaan itu sedang dijalankan.
"Buat masa ini, kami tidak mahu mengulas kerana siasatan sedang dijalankan. Ia akan lengkap tidak lama lagi,” kata Husni.
Ahmad Syauqey ditangkap pada 20 Jun mengikut Seksyen 186 Kanun Jenayah kerana menghalang tugas aggota polis dan di bawah Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak sopan di balai polis.
Beliau dikenakan tahanan reman dan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa dan dibebaskan pada 5 Julai lalu setelah jaminan dibayar di mahkamah majistret di Bachok.
No comments:
Post a Comment