2 wanita Myanmar maut
PILU... Nanda mendukung bayi yang terselamat dalam kejadian bunuh itu.
MELAKA: Dua wanita warga Myanmar masing-masing seorang pengantara pekerja dan seorang dipercayai pembantu rumahnya ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh mereka yang dipercayai dilakukan oleh tiga suspek di Malim, dekat sini, tengah hari semalam.
Kedua-dua wanita berusia 30-an itu ditemui terbaring di atas lantai di dalam sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Malim Permai, dengan keadaan mangsa berlumuran darah di ruang tamu rumahnya, manakala pembantu rumahnya pula ditemui mati dalam keadaan sama di ruang dapur.
Difahamkan, sebelum itu ada saksi mendakwa mendengar bunyi pertengkaran antara lelaki dan wanita di rumah berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, turut ditemui di tingkat atas rumah itu adalah sebilah pisau dan tukul besi.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 2.15 petang sebelum sepasukan polis tiba untuk melakukan siasatan.
Katanya, kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu disedari oleh adik lelaki mangsa apabila gagal menghubungi kakaknya itu yang juga isteri kepada pemilik rumah ketika datang untuk menghantar makanan ke rumahnya
“Adik mangsa mengetuk pintu rumah, namun tiada jawapan. Dia kemudian pergi ke belakang rumah dan melihat melalui cermin tingkap dan mendapati kakaknya terbaring di ruang tamu. Dia kemudian memberitahu dan meminta pertolongan daripada jiran menghubungi polis,” katanya.
Raja Shahrom berkata, sebaik tiba polis mendapati pintu rumah mangsa berkunci dan selepas membukanya, kedua-duanya mangsa ditemui berlumuran darah.
“Anak lelaki mangsa yang berusia enam bulan dan turut berada di dalam rumah itu bagaimanapun terselamat dan dibawa oleh bapanya ke hospital,” katanya yang enggan mendedahkan identiti kedua-dua mangsa kerana masih dalam siasatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati ada saksi mendengar pertengkaran berlaku kira-kira jam 11.30 pagi membabitkan seorang lelaki dipercayai warga Myanmar dengan wanita pada peringkat awal di dalam rumah terbabit.
“Kemudian diikuti dua lelaki masuk serta menutup pintu dan kita tidak tahu apa berlaku hinggalah adik mangsa tiba. Kita percaya senjata pisau dan tukul yang ditemui di tingkat atas digunakan dalam kejadian itu,” katanya.
Terdahulu, adik mangsa yang hanya dikenali sebagai Nanda, 30, berkata ketika tiba di rumah itu dia mengetuk pintu dan memanggil kakaknya namun tiada jawapan lalu cuba pula menghubungi telefon bimbitnya.
No comments:
Post a Comment