Pejabat baru SPRM Selangor pasang CCTV ambil keterangan
SHAH ALAM, 12 Mac — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang menjadi tumpuan ekoran kematian Teoh Beng Hock yang disiasat agensi itu tahun lalu akan turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) semasa mengambil butiran daripada pihak yang dipanggil untuk memberi keterangan.
Pengarahnya Datuk Ja’afar Mahad berkata ia selaras dengan penggunaan CCTV oleh SPRM di seluruh negara mulai tahun ini.
“Kita dalam proses untuk mendapatkan peralatannya yang akan dipasang di bilik mengambil keterangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ja’afar berkata bilik tersebut akan turut dipasang jeriji besi sebagai langkah keselamatan.
Dipetik Bernama, beliau berkata pejabat SPRM Selangor telah dipindahkan ke Wisma PKPS di Seksyen 14 di sini dari Plaza Masalam awal bulan ini, untuk menampung staf yang semakin bertambah.
Inkues untuk mengenal pasti kematian Teoh sedang berlangsung.
No comments:
Post a Comment