Bukan tugas Speaker pujuk Adun letak jawatan
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 24 Mac: "Kenapa ada double standard macam ni? Ini bukan tugas Speaker untuk pujuk-pujuk Adun yang hendak letak jawatan. Speaker kena terima dan maklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk adakan pilihan raya kecil. Kenapa Speaker tidak bertindak profesional?" kata Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua (gambar). Beliau menyatakan sebagai mengulas tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis, Datuk Yazid Mat berhubung Adun Titi Tinggi dari Barisan Nasional, Yip Sun Onn yang menghantar surat peletakan jawatan. Yip menghantar surat peletakan jawatannya kepada Yazid semalam. Dalam suratnya itu, Yip berkata peletakannya itu adalah serta merta akibat tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan MCA pusat. Bagaimanapun, Yazid dilaporkan sebagai berkata, kedudukan Yip masih belum diputuskan lagi dan masih dalam pertimbangan beliau. Sehubungan itu, Tian Chua mempersoal sikap tidak profesional Yazid yang tidak mahu menerima surat peletakan jawatan dan mengisytiharkan kekosongan kerusi. Ujarnya, sama ada Yip akan meletakkan jawatan atau tidak, beliau sudah hilang kredibiliti kerana menjadikan kerusi Dun sebagai senjata untuk kepentingan diri sendiri. "Sama ada Adun Titi Tinggi akhirnya letak jawatan atau tidak, tapi saya anggap Yip sudah hilang kredibilti sebagai wakil rakyat kerana sanggup mempermainkan amanah rakyat sebagai Adun untuk kepentingan parti sendiri," ujarnya. Namun beliau berkata, sekiranya berlakunya pilihan raya kecil akibat kekosongan kerusi itu, Pakatan Rakyat bersiap sedia untuk menghadapinya dan yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menawan kembali Dun tersebut. |
No comments:
Post a Comment