TAK PEDULI...rumah teres yang didakwa diubah suai menjadi kedai runcit.
BATU CAVES: Tidak serik dan seolah-olah cuba mencabar pihak berkuasa apabila pemilik sebuah rumah teres di sini, yang pernah dikompaun Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kerana mengubahsuai kediamannya menjadi restoran kini menjalankan pula perniagaan runcit.
Dakwa penduduk, pemilik terbabit mengubahsuai rumahnya untuk dijadikan kedai runcit seminggu selepas tersiarnya laporan akhbar ini Disember lalu mengenai tindakan pemilik itu yang menjadikan rumahnya sebagai restoran sehingga mengakibatkan kesesakan di sepanjang Jalan Taman Samudera.
Malah, tinjauan Harian Metro mendapati ia terletak di lot tepi memudahkan pemilik mengubahsuai rumahnya dengan menambah bahagian tepi rumah untuk dijadikan restoran dan kedai runcit.
Tinjauan mendapati tindakan pelanggan meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan untuk membeli-belah di kedai itu menyebabkan kesesakan berikutan jalan itu laluan utama penduduk sekitar.
Penduduk, Shaik Daud Abdul Gaffoor, 47, berkata selepas tersiarnya laporan kegiatan pemilik yang menjadikan rumahnya sebagai restoran, operasi perniagaan itu dihentikan.
“Bagaimanapun, seminggu kemudian pemilik mengubahsuai rumahnya untuk dijadikan kedai runcit. Bukan niat kami untuk menutup periuk nasinya, tetapi apa yang dilakukan bertentangan dengan peruntukan undang-undang.
“Malah tindakannya menyebabkan penduduk terpaksa berdepan masalah sama iaitu kesesakan lalu lintas di Jalan Taman Samudera yang menjadi laluan utama bagi kami yang menghubungkan laluan ke beberapa taman perumahan berhampiran,” katanya di sini, semalam.
Katanya, rumah terbabit yang terletak di tepi simpang tiga menyebabkan pengguna khususnya penduduk di situ sukar untuk keluar dan masuk kerana dihalang kenderaan pelanggan.
Bagi, P Priyagrapi, 60, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih tegas dalam isu berkenaan bagi memastikan pemilik terbabit patuh undang-undang.
“Sikap pemilik menunjukkan dia tidak takut tindakan pihak berkuasa.
“Kami tidak mahu sikap seperti ini menjadi ikutan dan merebak ke taman berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Pelesenan MPS, Muhammad Suhaimi Rosli, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan pemilik terbabit.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan pemilik rumah terbabit mengubahsuai kediamannya untuk dijadikan restoran dan diakui MPS bahawa pemilik sudah dikompaun dua kali kerana melanggar Akta 133, Akta Parit dan Bangunan dengan setiap satu kompaun adalah RM12,500 dan kompaun RM1,000 kerana berniaga tanpa lesen.
No comments:
Post a Comment