Dalang cuba keruh hubungan MB-istana
Anggota Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata, Khalid tentunya tidak mahu pening kepala dengan isu berkenaan apatah lagi mahu bermasalah dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Tetapi saya lihat ada pihak cuba mengeruhkan suasana ini dengan bertindak umpama baling batu sembunyikan tangan dalam isu tertentu. Kesungguhan MB (Khalid) menolak Khusrin jelas ada dalang di belakangnya,” katanya.
Ibrahim, yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), berkata, setakat ini Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali tidak bersuara dalam media, bukannya bermakna mereka tidak berperanan.
“Tapi apa MB boleh buat. Dia ikut sahaja dalang di sebalik isu ini. Isu ini tidak menguntungkan beliau (Khalid) malah merugikannya. Matlamat utama ialah bermulanya pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor,” katanya.
Anwar, yang juga penasihat ekonomi Selangor manakala Azmin Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kawasan Bukit Antarabangsa, merangkap Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor.
Ibrahim berkata, dalam isu ini, satu analisis politik perlu dibuat dengan tepat kerana untuk meminda undang-undang, sebanyak 2/3 majoriti atau 37 kerusi diperlukan sedangkan kerajaan Selangor sekarang hanya mempunyai 35 kerusi dari 56 kerusi keseluruhannya.
Sementara itu, bekas Adun Batang Kali, Datuk Zainal Abidin Sakom mendakwa isu ini disengajakan oleh satu gerakan dalaman PKR sendiri untuk menghilangkan keyakinan sultan dan rakyat kepada peribadi dan kepimpinan Khalid.
Beliau berkata, PKR seolah-olah sengaja membiarkan malah menggalakkan Khalid terus membuat kesilapan demi kesilapan yang dianggap besar sehingga sanggup mempertikaikan perkenan Tuanku Sultan. “Ini menyebabkan segala tindak tanduk sebagai seorang MB tidak mendapat keyakinan dan restu Sultan. “Akibatnya bila isu menjadi semakin besar, kemungkinan besar Sultan akan mengeluarkan titah Tuanku tidak dapat bekerjasama dengan Khalid dan akan menggantikan dengan muka baru untuk menjadi MB,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment