apa nak dikato...????
sebelum ini:klik disini
KANGAR: “Saya mengaku dia bapa kandung saya tapi kami tidak serasi
hidup bersama kerana kehadirannya membawa masalah kepada rumah tangga
saya.
“Lagipun, dia memang suka merempat dan hidup sebatang kara. Dulu
pun dia duduk seorang diri di Langkawi,” kata lelaki yang mengaku
meninggalkan bapanya di pondok bas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK)
Datuk Wan Ahmad di sini, 7 Januari lalu.
Ketika dihubungi
Harian Metro semalam, lelaki berusia 30-an itu tanpa rasa bersalah
mendakwa bapanya, Abdul Rahman Talib, 57, memang suka merempat dan
lebih gemar hidup sebatang kara.
“Saya mengaku mengajak dia tinggal ke rumah saya di Perlis selepas lama hidup seorang diri di Langkawi .
“Bagaimanapun, selepas dua minggu bersama, kehadirannya menimbulkan
masalah kepada rumah tangga saya. Walaupun dia bapa kandung, pada masa
sama saya juga perlu menjaga keharmonian keluarga termasuk isteri dan
anak-anak,” katanya.
Menurutnya, bapa dan ibunya bercerai beberapa tahun lalu. Ibunya
yang sudah berkahwin lain serta menetap bersama suami baru pula sering
bertandang ke rumahnya di Beseri, dekat sini.
“Kekerapan ibu
bertandang ke rumah mendorong saya meminta bapa mencari tempat lain
untuk dia berteduh,” katanya yang berniaga secara kecil-kecilan di sini.
Ditanya kenapa dia tergamak meninggalkan bapanya yang uzur di tepi
jalan, lelaki itu dengan selamba mendakwa memberi alasan bapanya tiada
saudara-mara di Perlis kerana berasal dari Langkawi.
“Ketika
membawanya dengan kereta, dia suruh saya berhenti dan menurunkannya
sebaik terlihat pondok bas di tepi sekolah itu,” katanya. Harian Metro
semalam melaporkan seorang warga emas yang baru selesai menjalani
pembedahan jantung di Hospital Pulau Pinang terkejut apabila
ditinggalkan anaknya bersama bungkusan pakaian di pondok bas terbabit.
Kejadian memilukan itu berlaku apabila Abdul Rahman yang baru
dibenarkan keluar dari hospital menjejakkan kaki ke rumah anak
lelakinya di sebuah taman perumahan dekat sini.
Dalam
perkembangan berkaitan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis
memberi perlindungan kepada Abdul Rahman dengan menempatkannya di Rumah
Orang Tua Batu Bertangkup, Chuping, dekat sini, kelmarin.
Beberapa pegawai JKM menemui Abdul Rahman di pondok bas berhampiran SK
Datuk Wan Ahmad sebelum membawanya ke pusat perlindungan berkenaan,
kira-kira jam 7 malam.
Timbalan Pengarah JKM negeri, Ku Chik Ku Mat Esa, ketika
mengesahkan perkara itu, berkata Abdul Rahman mendapat keistimewaan
memasuki rumah orang tua Batu Bertangkup kerana faktor kesihatan.
“Dia baru menjalani pembedahan jantung dan memerlukan penjagaan
sempurna. Kehidupannya lebih terjamin menetap di sini yang dikhususkan
untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas.
“Kami sedih
membaca laporan Harian Metro semalam yang mendedahkan perbuatan tidak
masuk akal dilakukan seorang anak terhadap bapa kandung sendiri.
“Sebaik mendapat maklumat, saya mengarahkan beberapa pegawai mencari
dia sebelum menjumpainya di pondok bas berhampiran sekolah terbabit dan
kini Abdul Rahman menetap bersama lapan penghuni lain di rumah
perlindungan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, Abdul Rahman turut diberikan bantuan bulanan RM150 selain makan minum percuma disediakan JKM di situ.
Sementara, Abdul Rahman ketika ditemui di rumah orang tua itu bersyukur kerana mendapat perlindungan sewajarnya daripada JKM.
“Saya tak mahu memikirkan perbuatan dia (anak) lagi. Walaupun sedih,
saya `menghormati’ perbuatannya membuang saya. Lagipun, mereka
sekeluarga tak pernah menghubungi selepas membuang saya di pondok bas
itu sejak seminggu lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment