KUALA LUMPUR: Dengan lagak seperti pelajar baru pulang kuliah,
seorang 'Awang Hitam' pada mulanya selamba lalu di hadapan pondok polis
di Villa Taman Tasik di sini, sambil membawa beg sandang.
Bagaimanapun, selepas menyedari dirinya diperhatikan, Awang
Hitam warga Zambia itu mula menggelabah menyebabkan anggota polis yang
memerhatikan gerak-gerinya melakukan pemeriksaan sebelum menemui satu
ketulan daun kering mampat dipercayai dadah jenis ganja dengan anggaran
1,000 gram dalam beg sandang dibawanya.
Dalam kejadian
kira-kira jam 2 pagi itu, polis turut menemui dua lagi ketulan kecil
dibungkus rapi juga dipercayai ganja disembunyikan dalam stoking
dipakai suspek.
Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah
berkata, hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek, polis menyerbu
sebuah rumah di kondominium Tasik Bayu dan menahan dua lagi suspek
iaitu lelaki warga Afrika dan wanita warga Indonesia.
"Pemeriksaan dalam rumah suspek berusia 30-an itu, polis menemui
beberapa lagi ketulan dibungkus rapi dipercayai dadah jenis sama
seberat kira-kira 50 gram, berat anggaran keseluruhan dadah dirampas
daripada ketiga-tiga suspek adalah 1.5 kilogram.
"Dua lelaki
terbabit mengaku memasuki negara ini menggunakan pas pelajar dan
berdaftar dengan sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di ibu
kota, bagaimanapun didapati sudah tamat pengajian beberapa tahun lalu,"
katanya.
Menurutnya, pasport milik kedua-dua suspek juga sudah tamat tempoh,
manakala wanita warga Indonesia dipercayai teman wanita seorang
daripada suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
No comments:
Post a Comment