Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pemuda MCA kali ke-46 ditangguhkan sebentar tadi berikutan jumlah perwakilan yang hadir tidak mencukupi untuk membolehkan perhimpunan dijalankan.
Timbalan Ketua Pemuda, Datuk Dr Mah Hang Soon mengumumkan keputusa itu jam 10.45 pagi ini, iaitu 15 minit selepas pendaftaran delegasi ditutup.
“Saya sedih (dengan ketidakhadiran ini) kerana selepas semua persiapan, kita gagal bermesyuarat yang merupakan gelanggang terbaik bagi delegasi membincangkan perkara penting yang melanda negara."
Mah yang tiba pada jam 10 pagi bersama timbalan setiausaha agung, Loh Chew June cuba menyelamatkan AGM itu dengan mengumpulkan perwakilan tetapi hanya berjaya mendapatkan 87 orang.
Mereka yang hadir itu kemudiannya membidas Ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong yang tidak hadir dan menuntut beliau digantikan.
Menurut Mah, punca ketidakhadiran ramai perwakilan Pemuda adalah kerana mereka menerima sms yang bercanggah berhubung AGM hari ini.
Ditanya mengenai AGM badan induk itu esok, Mah berkata "Saya akan hadir. Bukan bagi saya untuk risau mengenai apa yang berlaku. Tugas saya ialah melaksankan tanggung jawab yang diamanahkan."
Mesyuarat Pemuda yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara itu sepatutnya bermula pada jam 9 pagi tetapi kurang 10 daripada 1,742 perwakilan yang hadir.Bagaimanapun, AGM pergerakan Wanita di Wisma MCA menyaksikan lebih 350 perwakilan, - kira-kira satu perlima daripada jumlah perwakilan hadir.
Mesyuarat itu juga dipulaukan oleh ketuanya, Datuk Paduka Chew Mei Fun.
Kehadiran perwakilan di kedua-dua AGM itu dilihat sebagai pengukur, sejauh mana sokongan para perwakilan terhadap presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat yang kini tersepit.
Majlis eksekutif kedua-dua pergerakan itu pada mesyuarat tergempar mereka semalam mengambil keputusan untuk menangguhkan AGM hari ini.
Namun jawatankuasa pusat (CC), tanpa kehadiran 21 anggotanya yang meletakkan jawatan dua hari lalu, menuntut AGM MCA yang dijadualkan pada Ahad ini diteruskan.
CC juga mengarahkan pergerakan Pemuda dan Wanita MCA mengadakan AGM mereka hari ini.
Kedua-dua pemimpin pergerakan itu adalah penyokong kuat naib presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
No comments:
Post a Comment