Penoreh getah peroleh RM1,500-RM15,000 sebulan
5th January, 2011KENINGAU: Getahwan adalah perkataan yang sinonim dengan golongan penoreh getah di kawasan pedalaman, yang bermaksud ‘orang-orang yang berduit’.
Getahwan juga merujuk kepada status penoreh getah yang meraih kemewahan melalui getah yang harganya melambung naik sejak setahun yang lalu.
“Penoreh getah di pedalaman memperolehi pendapatan di antara RM1,500 hingga RM15,000 sebulan, dan saya amat berbangga dengan perkembangan ini,” dedah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Hj. Sairin Hj. Karno.
Sairin berkata, kuasa beli di kalangan rakyat pedalaman semakin aktif ekoran daripada kenaikan harga getah yang melambung tinggi sejak setahun yang lalu.
Harga getah kepingan (basah) berharga RM7.05 sen sekilogram atau RM7,050 setan, iaitu mengalami kenaikan sehingga 85 peratus secara agresif sejak setahun yang lalu.
Ini bermakna kata Sairin, penduduk yang mempunyai keluasan kebun sebanyak 5 ekar, berjaya melepasi cengkaman kemiskinan.
Sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk di Keningau memiliki tidak kurang 2 ekar kebun getah.
Sairin yang merupakan Wakil Rakyat Liawan mahu rakyat di kawasan itu supaya fokus kepada pertanian yang lebih menguntungkan, seperti getah dan kelapa sawit.
“Sudah tiba waktu untuk rakyat melangkah jauh kehadapan untuk menceburi bidang pertanian yang lebih menguntungkan,” katanya, ketika ditemui semasa menemui pengundinya di kawasan Liawan.
Menjawab satu soalan, Sairin berkata, penggunaan benih yang terbaik adalah langkah bijak yang perlu diambil kira oleh pekebun.
Katanya, benih berkualiti tinggi mungkin lebih mahal berbanding yang sedia ada, tetapi katanya menggunakan benih yang terbaik memberi pulangan yang berlipat kali ganda.
“Kita perlu berkorban untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik,” katanya.
Kepada soalan yang lain, Sairin berkata, penoreh getah merupakan satu karier yang setanding dengan kerja-kerja pejabat yang lain.
Malah tambahnya, pendapatan seorang penoreh getah jauh lebih tinggi berbanding gaji seorang kerani.
No comments:
Post a Comment